>

1. Pada 12 Februari 2010 bermulalah kejohanan multi sukan musim sejuk di Vancouver, Kanada. Di sini (Jepun), upacara pembukaannya disiarkan secara langsung di NHK kira-kira jam 11 pagi 13 Februari 2010 (di Vancouver ketika itu sekitar jam 6 petang). HE dan Arisa menonton bersama. Arisa sangat berminat program multi persembahan.

2. Sesuatu yang menarik bila menonton perarakan kontigen pelbagai negara ialah apabila kemasukan kontigen dari Jepun membuatkan Arisa (1 tahun 6 bulan) bersorak. Agak mengujakan melihat sikecil bagai mengerti melihat 日の丸 (dibaca: Hinomaru, bermaksud cakera mentari) atau bendera Jepun umpama beteriak untuk negaranya. Mungkin dia tahu dia dilahirkan di sini tetapi dia belum tahu dia milik negara mana. Ya, sayang sekali bendera jalur Gemlang tidak berarak di sukan musim sejuk. Kenapa ya? (sayang tidak dapat merakam gelagat Arisa ketika bersorak)

3. Signifikannya upacara pembukaan Sukan Olimpik musim sejuk kali ini, HE tonton di dalam musim sejuk dengan salji turun semasa upacara berlangsung. Jika di Malaysia, menonton dengan terik panas mentari atau bersuhu panas biarpun pada malam hari. Di sini butir-butir saljinya jatuh bagai terasa suasananya. 2006 di Torino, Itali, HE menontonnya waktu dinihari, semasa 2002 di Salt Lake City, menontonnya waktu pagi.

4. Pembukaan Vancouver 2010 pasti akan dikenang dalam lipatan sejarah kerana pertamanya dalam keriangan menyaksikan sambutan perhimpunan atlit sukan musim sejuk dunia, ia juga upacara menyampaikan takziah kepada seorang atlit, acara Luge, Nodar Kumaritashvili yang meninggal dunia akibat kemalangan semasa sesi latihan.

5. Selain itu, upacara pembukaan di Vancouver pasti memahatkan ingatan kita kerana dipertontonkan kegagalan salah satu obor olimpik untuk naik kerana masalah mekanikal. Klimaks upacara pembukaan seperti Olimpik dibuat pada hujung acara apabila obor dinyalakan dan kejadian di upacara pembukaan Vancouver sedikit sebanyak memalukan penganjur.

6. David Atkin merupakan insan yang dibayar untuk mengemudi upacara ini mungkin mencatatkan portfolio yang buruk dalam kerjayaanya. Dia, sebelum ini amat berbangga dengan kejayaan pengendalian acara untuk Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar berkata, masalah teknikal obor Vancouver berlaku pada saat akhir ketika upacara penyalaan obor. Pada awalnya tiang yang sama digunakan semasa awal acara pembukaan untuk persembahan kebudayaan dapat digunakan. Yang pastinya, kegagalan mekanikal sebegini telah mengulangi persitiwa hampir sama semasa upacara pembukaan sukan olimpik di Sydney 2000 iaitu ketika David Atkins juga merupakan pengendali acara.

7. Seperti kata penganjur, upacara pembukaan di Vancouver tidak akan mengulangi kegemilangan seperti di Beijing 2008. Mereka sudah sejak awal memaklumkan penonton tidak membandingkan Beijing dengan Vancouver kerana
1. Beijing Olimpik musim panas dan vancouver olimpik musim sejuk.
2. Kos upacara pembukaan Beijing – sekitar 100 juta (Athens, 2004, olimpik musim panas sebelum itu sekitar 50 juta) dan Vancouver 2010 sekitar 38 juta.
3. Di Beijing, tenaga kerja yang terlibat lebih besar daripada Vancouver.

Hanya 3 tiang berbanding 4 mengelilingi obor utama

8. Pun begitu, Vancouver mencatat sejarahnya sendiri apabila menjadikan Stadium tertutup sebagai gelanggang ucapara pembukaan. Ia juga merupakan gelanggang olimpik pertama meletakkan obor di tengah stadium dan mempunyai obor lain di luar.

9. Di Jepun pula, kisah seorang atlit snowboard yang menyertai acara di Vancouver 2010 ini tidak dibenarkan berarak dalam kontigen atlit semasa upacara pembukaan kerana mempunyai imej dan penampilan tidak kemas dikalangan “rakyat” Jepun. Kazuhiro Kokubo merupakan remaja 21 tahun dengan gaya rambut raggae ala Bob Marley dan gaya remaja tanpa memasukkan kemeja ke dalam seluar telah menimbulkan rasa tidak puashati kalangan rakyat dan pegawai.

10. Di Vancouver juga menyaksikan Kuala Lumpur gagal mendapat hak menganjurkan Sesi IOC 2013 kepada Bandaraya Buenos Aires dengan 51 berbanding 38 undi. Berita ini kurang dipaparkan di Malaysia kelihatannya. Pun begitu, diharapkan usaha lebih keras untuk mencapai tujuan menganjurkan Sukan Asia kelak pada tahun 2019. Semoga berjaya pada semua.