>

  1. Final presentation atau VIVA akan diadakan pada 2-3 Februari. VIVA berasal dari perkataan Latih bererti hidup. Kata penuh bagi maksud ini ialah VIVA VOCE atau suara kehidupan jika diterjemah secara bahasanya tetapi pemakaian maksudnya lebih kepada pertahanan tesis iaitu sesi untuk meyakinkan para profesor tentang tesis yang telah ditulis.
  2. Ada rakan-rakan sudah selesai VIVA. HE masih ada lebih kurang seminggu lebih.
  3. Belum pun selesai VIVA, perasaan telah rasa sayang hendak meninggalkan suasana ini.
  4. Ada waktu-waktunya kita akan merasa rindu pada kekalutan menghantar tugasan. Malah rindu juga datang untuk menempuh kegusaran jika di”belasah” semasa dalam seminar. Tapi di situ kita mempelajari sesuatu yang sangat berharga iaitu bercakap dengan benar, dengan fakta dan berjuang mempertahankan pendirian kita. Pun begitu, kita juga mempelajari menerima pandangan orang lain. Dalam erti kata lain KITA TIDAK SEMESTINYA BETUL WALAUPUN KITA RASA BETUL.
  5. Hari ini, mahu ke kampus tetapi kaki berat mahu melangkah. Sangkakan suhu sejuk, rupanya sudah menjengah 20 darjah. Suhu bagai musim bunga.
  6. Mengingatkan musim bunga, adakah berkesempatan berhanami tahun ini? Sememangnya telah menjangkakan tiada kesempatan itu,  cuma jika ada keajaiban diberikan Yang Maha Esa, cuaca musim bunga datang lebih awal dan menguntumkan bunga-bunga Sakura lebih awal.
  7. Jika itu berlaku, maka sempatlah untuk melambai tangan pada sang mekar Jepun itu pada penghujung Mac ini.