>

1. Bagai tidak terasa, sudah menghampiri 3 tahun berada di sini. Dari bertiga menjadi berempat.

2. Adia dari anak kecil sudah menjadi dara pingitan.

3. Arisa yang terbaring dan didukung pula sudah mampu berlari.

4. Semuanya berlaku dalam tempoh berada di Jepun. HE? HE pula menempuhi pelbagai pengalaman di sini. Walaupun kategori “anti-sosial”, sempat juga berkenalan dan sua muka dengan ramai insan dan mereka yang akhirnya banyak membantu.

5. Gambar di atas, baju yang dikirim bonda HE dari Malaysia untuk Adia kira-kira 2 tahun lalu. Baju berwarna merah jambu itu merupakan kegemaran Adia. Selain berwarna merah jambu, skirt kembang baju itu membuatkan Adia bagai seorang puteri. Dia memusing-musingkan badannya agar skirt itu menjadi kembang.

6. Sekarang, baju itu sudah sendat buat Adia. Beberapa minggu lalu, Arisa pula bagai teruja mahu mencuba baju kakaknya.

7. Sekarang, Arisa pula bagai mengulangi kisah kakaknya dulu. Dia juga memusing-musingkan badannya agar skirt baju itu menjadi kembang.

8. Sejarah juga berulang sebagaimana makcik-makciknya dulu. Baju kakak akan diwarisi kepada adik. Adik sentiasa menjadi pemakai baju second hand?

9. Tak mengapalah, nanti bila sudah pakai baju yang sama, moga serasi kalian sampai bila-bila.