>

Adia n Arisa, originally uploaded by hairieusoff.

1. Anakku yang bernama Adia, punya sifat yang suka menyimpan. Dia mungkin marah tetapi dia menyematkannya di hati.

2. Arisa, anakku yang kecil pula mempunyai sifat yang sepertinya melepas bebaskan jiwanya.

3. Jelas, karaktor itu bertentangan dan akibat pertentangan sifat itu adakalanya aku sangat berhati-hati untuk menguraikan perkara antara mereka.

4. Anak-anak gadisku ini sudah “dewasa”. Mereka sudah mula ada percakaran dan pertengkaran.

5. Penyelesaian terhadap mereka perlu dilihat dari sifat mereka yang berbeza itu. Jika sifat mereka yang hampir sama, mungkin saja aku pukul sama rata. Namun kerana sifat yang bertentangan antara satu sama lain itu, aku perlu melihat situasinya, melihat emosi keduanya, melihat besar kecil mereka dan melihat sifatnya.

6. Inilah pembinaan sebuah masyarakat. Bukan senang kerana tanggungjawabnya berat dan besar. Memang pernah dalam kepala semasa bujangan dulu, perkahwinan perlu dilewatkan sedikit kerana mahu menyediakan diri. Dan sekarang memang sudah ku fahami kematangan yang diperlukan untuk aku menyusun masyarakat kecil ini.

7. Selain berdepan dengan anak-anak, aku berdepan dengan pasangan. Cabaran penting kita ialah bagaimana menjadi “muka surat” yang sama di hadapan anak-anak.

8. Pasangan kita mungkin bertindak berlawanan sifat dengan kita tetapi dalam masa yang sama kita perlu mempunyai arah yang sama. Kadang kala kita memarahi anak, tetapi pasangan akan menjadi situasi penyelamat kepada anak-anak. Begitu juga sebaliknya. Itu lumrah kerana jika tidak anak rasa terpinggir. Jadi ada 2 situasi nasihat, satu dengan memarahi dan satu lagi dengan kaedah “cucuk jarum” iaitu sambil memujuk, pasangan akan menasihatkan anak.

9. Namun, kadang kala, anak-anak sudah bijak, mereka akan menggunakan perbezaan kita untuk kepentingan diri mereka. Misalnya, jika kita melarang sesuatu, mereka kata pasangan kita pula benarkan.

10. Maka pada saat itulah komunikasi antara pasangan sangat penting. Sebagai ibu bapa, kita perlu mencorakkan anak dan bukannya anak mencorakkan kita. Maka hal yang sebegitu kadang kala sangat sukar diuruskan walaupun pada mulanya aku rasa senang.

12. Jadi, sebagai ibu bapa, paling penting buat mereka agar menjadi satu pasukan yang kuat dan rasanya tiga perkara asas yang perlu ada antara pasangan ungguli ialah Komunikasi, Perbincangan dan juga Penyelesaian Masalah.