>

Ke hulu membuat pagar
Jangan terpotong batang durian
Cari guru tempat belajar
Supaya jangan sesal kemudian

I

1. Walapun belum tamat tesis ditulis, di dalam kepala sudah memikirkan apa yang bakal diuruskan di tanahair nanti. Paling pasti ialah menguruskan persekolahan anak-anak.

2. Sejak kebelakang ini, khususnya pasca keputusan UPSR, pelbagai penilaian, tafsiran dan cadangan berlegar di dada akhbar tentang sistem pendidikan tanahair.

3. Sistem pendidikan kita sememangnya unik kerana di dalam sebuah negara kita mempunyai pendidikan untuk 3 jenis sekolah. Kita memisahkan jenis pendidikan mengikut etnik.

II

4. Beberapa hari lepas, berkesempatan mengunjungi rakan sempena Aidl Adha. Anaknya berumur sekitar 4-5 tahun bersekolah di sini (Jepun). Katanya, di sini, walaupun bersekolah, anak-anak masih belum diajar dengan ABC atau  あいうえお(vokal Jepun). Mereka mengajar kanak-kanak kemahiran hidup dan cara bersosial.

5. Semalam pula, berkesempatan melihat status rakan di facebook yang mencari sekolah untuk anak kecilnya sekitar umur yang sama di Malaysia. Melihatkan komen-komen, ibu bapa nampaknya mahukan anak diajar sesuatu dengan formal pada usia yang sangat muda.

6. Saudara saya pula sudah sudah menghantar anak-anaknya sejak kecil lagi untuk belajar itu dan ini disebelah pagi, petangnya kelas itu dan ini. Agak mengkagumkan anak sekecil itu bertutur dengan silibus-silibus tahap tinggi berbanding usianya. Sayang sekali, apabila ke Tahun Satu di Sekolah Rendah, mereka tidak cemerlang dan mereka seperti sudah bosan dan malas belajar kerana mengulangi perkara yang sama. Kadang-kala saya merasa kasihan melihat anak-anak sebegini dinafikan alam kanak-kanak mereka.

III

7. Hari ini, ada sebuah rancangan berjudul Mr. News. Rancangan ini sangat bagus untuk membuka minda kita. Ia membicarakan isu semasa melalui pelbagai perspektif. Malah sesuatu perkara itu dihuraikan dengan amat mudah untuk difahami.

8. Pada kali ini, Mr. News memberitakan tentang pengiktirafan dunia terhadap negara Finland sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem pendidikan yang paling baik di dunia. Ia terbukti dengan skor pengujian asas kecekapan Matematik dan Bahasa di dunia di mana Finland menduduki tempat pertama.

***

9. Isunya, Sistem Pendidikan.

10. Di makmal Kiyoki, tempat saya menjalani pengajian di Universiti, baru-baru ini, ada dua orang pelajar yang datang untuk membuat kajian mereka. Sebelum itu, beberapa siri usahasama kajian telah dibuat dalam beberapa kajian khususnya dalam bidang multimedia dengan hubungkait silang budaya. Baru-baru ini, memorandum persefahaman telah dibuat dengan universiti tempat pengajian saya dan universiti di Finland, University of Jyväskylä.

11. Melihatkan Mr. News dan perkembangan di makmal saya, membuatkan fikiran saya bertanggapan bahawa Jepun sedang menggerakkan pemikiran mereka menuruti kebijaksanaan negara Finland. Sudah pastinya, jika Jepun mahu menyalin sistem pendidikan Finland, mereka kurang menghadapi masalah berbanding kita di Malaysia.

12. Cabaran terbesar di Malaysia ialah menggabungkan sistem persekolahan vernakular menjadi satu sistem persekolah kebangsaan. Apa yang meninggikan martabat sistem pendidikan di Finland ialah

  • Mereka memastikan tiada sebarang pengasingan dalam pendidikan. Tiada perbezaan bagi murid yang cerdik atau tidak cerdik.
  • Mereka memastikan semua pelajar diberikan makanan yang sama (subsidi) – ini mungkin tidak mampu di lakukan di negara kita jika kewangan pemerintah tidak baik tetapi ia sebuah pelaburan jangka masa panjang untuk pembinaan modal insan.
  • Mereka tiada ujian akhir dan ujian/peperiksaan kebangsaan. Ia bermaksud penilaian mereka dibuat sepanjang hayat iaitu penilaian setiap bulan oleh guru mereka.
  • Mereka juga memastikan guru mereka melakukan kerja sebagai pengajar sahaja.

13. Menariknya Mr. News membandingkan Jepun dengan Finland dalam peperiksaan. Di Jepun (mungkin sama seperti kita juga di Malaysia), setiap satu persoalan atau ujian/peperiksaan, jawapan adalah tetap. Tetapi di Finland, setiap jawapan yang dipilih oleh pelajar perlu diberikan pandangan atas pemilihan jawapan. Ia menggalakan pelajar lebih kritis dalam keputusan yang dibuatnya.

13. Banyak pihak di Malaysia betanggapan SRJKC bijak dalam pelajaran kususnya matematik tetapi sistem pengajaran di Malaysia dengan penumpuan latih tubi tidak memberikan keputusan cemerlang secara total. Jika mereka mendapat 100% di dalam ujian mereka, adalah mereka bijak dalam membuat pengiraan dalam kehidupan mereka kelak?

14. Jika kita mahu membina modal insan yang cemerlang pada masa depan, sistem pendidikan di negara kita pertamanya perlu membuang sikap pemisahan. Justeru, Sistem satu aliran dan satu sekolah untuk pelbagai kaum perlu diperkenalkan. Sistem taksiran kebangsaan juga perlukan perubahan. Jika masih perlukan peperiksaan kebangsaan, pun begitu, perlu juga penilaian pelajar melalui kerja sekolah mereka setiap bulan dan juga penilaian daripada guru untuk gred peperiksaan kebangsaan.

15. Buat masa sekarang, seharusnya kita melihat nun jauh di hadapan dan buangkan sentimen politik, kaum dan hal remeh demi anak-anak kecil kita. Apabila melihat anak sendiri, membuatkan saya terpanggil menyuarakan hati saya kala melihat kegusaran fenomena sedia ada. Nah! sekarang baru “aku” mengerti kegusaran ibu bapa ku dahulu.