>

Maun? Maging? Ingatkah kalian terma itu? Mungkin bagi yang pernah mempelajari ilmu sains suatu ketika dahulu akan pernah dengar perkataan itu. Maun (Makan Daun) merujuk kepada herbivor dan Maging (makan Daging) merujuk Karnivor.

Di sini, di jepun, kemajuannya sungguh jelas. Ia bukan sahaja dari aspek ekonominya, tetapi melengkapi kebudayaan dan sosialnya. Soalnya, adakah setiap kemajuan itu diterima atau tidak merupakan suatu persoalan. Apa kaitan Maun dan Maging dengan kemajuan? Satu terma baru telah hadir dalam kehidupan Jepun itu Soshokukei Dansei (草食男子) atau lelaki Maun atau herbivores. Ia juga kadang kala menggelar golongan ini sebagai Ojo-Man (Ojo: wanita, Man:Lelaki) atau secara mudahnya bermaksud lelaki menyerupai wanita atau ladylike. Pun begitu menurut seorang profesor filosofi di Universiti Osaka menafikan persamaan Soshokukei dengan homoseksual, pondan, banci, bapok dan berkaitan dengannya. Ini kerana tradisi lelaki Jepun seperti pementasan Kabuki telah secara turun-temurun mengaplikasikan penampilan lelaki sebagai wanita. Justeru, kehadiran terma Soshokukei ini dianggap suatu generasi baru lelaki jepun dan ia refleksi dari budaya sejak zaman Shogun Tokugawa lagi. Cuma penampilannya beredar mengikut kemajuan zaman. Fenomena ini sebenarnya telah merubah landskap peradaban Jepun. Dan ini diakui pihak-phak yang berkaitan dengan pemasaran kerana model pemasaran Jepun terpaksa mengubah strategi mengikut karakteristik golongan ini. Secara umumnya ia telah mengubah perihal sosial di Jepun.

Apakah karakteristik itu? Siapakah golongan Maun atau Soshokukei ini?

  1. Lelaki ini tidak kompetetif dari segi minda khususnya berkaitan kerjaya
  2. Mereka bgitu menekankan fesyen dan menjaga makan supaya sentiasa kurus dan membolehkan mereka memakai pakaian yang mendakap badan (skintight clothes).
  3. Mereka rapat dengan ibu mereka dan sering keluar membeli belah bersama.
  4. Mereka tidak berminat dating dengan wanita atau mebina dan melakukan hubungan dengan wanita.
  5. Sebahagiannya tidak dapat keluar rumah, jika rambut mereka tidak rapi.
  6. Sebahagiannya juga akan berasa berkeyakinan dengan diri sendiri jika kuku mereka cantik.

Kemajuan Jepun telah memberikan kebebasan untuk mereka berbuat apa-apa malah menyifatkan ini sebuah fenomena positif terhadap toleransi individu. Mereka mungkin tidak kisah dengan lelaki yang memakai kimono dan mengayakan dandanan rambut dengan cantik  serta kelihatan seperti wanita kerana bagi mereka yang penting perbezaannya tetap ada pada alat kelamin, namun begitu generasi sebelumnya, ada juga yang tidak menyukai fenomena ini, namun mereka ini sudah tidak mampu berkata apa-apa kerana perjuangan individu di sini agak kuat.

Pada masa ini, di sini (jepun), sudah ada baju dalam (bra) untuk lelaki, sudah ada perkhidmatan manicure untuk lelaki, telefon lelaki penuh dengan strip bermanik-manik dan kening tercukur cantik.

Bergerak pada paksi soshokuukei, generasi itu jelas kelihatan di kalangan generasi baru di Jepun, baik di kampus HE, di TV dan berdekatan rumah HE. Ia sebuah trend dan ia bakal menjadi kebiasaan.

Bagi kita, eloklah membuat penilaian kemajuan yang mahu diacu di negara kita dengan bentuk kita sendiri dan mewarisi adab-adab sejak dulu lagi. Dikhutiri kelak nanti menjadi seperti Jepun yang generasi tuanya lebih ramai dari generasi muda kerana tidak ramai yang mahu berkahwin dan meneruskan institusi keluarga. Malah ia akan menyukarkan penentuan identiti generasi serta mewujudkan kekaburan dalam menentukan sempadan jantina.