>Kalau membaca akhbar di Malaysia, memang ruangan hiburan itu, pasti ada isu berkaitan dengan Rancangan Realiti TV. Rata-rata konsep realiti paparan di Malaysia itu mesti ada istilah interaktif. Iaitu, penonton juga mengambil bahagian dalam rancangan itu dengan mengirimkan SMS (Khidmat Pesanan Ringkas: di baca Short Messaging Service) untuk undian atau pendapat.

Bagi merealisasikan realiti itu, hiburan khususnya rancangan berbentuk nyanyian mendapat pilihan utama pengusaha rangkaian TV. Di Setiap stesyen menampilkan “rancangan realiti TV” berbentuk pertandingan nyanyian. namakan sahaja, Akademi Fantasia (Astro), Bintang RTM (RTM), Mentor (TV3), One In A Million dan Malaysian idol (8TV), Akademi Nasyid dan Idola kecil (TV9) dan Audition (NTV7 – entah ada, entah tidak lagi).

Semuanya program pertandingan berentap suara. Pun begitu, ada juga langkah menerbitkan program realiti (dengan SMS) untuk program ke arah keagamaan seperti Akademi Quran, program kebajikan seperti Bersamamu dan pelbagai dengan meraih simpati dan juga meraih wang penonton. Semuanya adalah perniagaan.

Sepanjang hidup HE di Jepun, belum pernah HE menonton rancangan dengan hiburan pertandingan nyanyian dengan penglibatan SMS. Walaupun manusia di jepun ini mengibaratkan keitai (telefon bimbit) itu bagai nyawa mereka, tetapi selalunya permintaan terhadap SMS datang untuk rancangan mengundi pendapat atau meminta pandangan dan buah fikiran baru untuk rancangan tersebut.

Namun begitu, realiti sesebuah rancangan di Jepun lebih mengujakan HE kerana tanpa menyibukkan diri untuk menghantar SMS, kita lebih merasai realiti rancangan itu.

Di Jepun kebanyakan rancangannya melaporkan kehidupan. Mengembangkan pengetahuan dan menelusuri perasaan. Sesebuah realiti kehidupan itu dipancarkan di ruang TV dan kita hanya perlu menghayati tanpa mengganggu konsentrasi kita menghantar SMS. Apa yang perlu dilakukan ialah, sama-sama merasai momen suka duka kehidupan yang dipaparkan. Pada pandangan HE, itu sudah cukup menjadi sebuah rancangan realiti.

Beberapa hari lalu, sebuah stesyen TV menayangkan sambutan hari ibu. Seorang gadis Gyaru (gadis dengan fesyen pelik) diberikan ruang untuk memberikan kejutan kepada ibunya dengan perubahan penampilan menjadi gadis seperti yang lainnya. Selepas perubahan (make uover) dilakukan, satu temujanji diadakan dengan ibu dan anak. Ibunya tidak mengetahu sama-sekali perjumpaan ini melibatkan TV. Di dalam pertemuan itu, si anak mengejutkan ibu dengan penampilan barunya yang lebih menyenangkan mata dan hati ibunya, malah dia juga memberikan bunga karnation sempena hari ibu yang jarang sekali disambutnya. Ibunya menangis dan kita sebagai penonton menyaksikan gambaran sebenar rasa seorang ibu dan menjadikan tatapan kita ketika itu satu yang tulus.

Bulan lalu pula menyaksikan bagaimana sebuah stesyen TV merakamkan kehidupan pasangan Jepun yang berkahwin dengan warganegara asing. Rakaman kehidupan itu dibuat oleh seorang jurugambar yang tinggal bersama mereka hampir 2 bulan.

Ada juga rancangan yang menunjukkan bagaimana sepasang suami isteri menyara hidup 9 anak mereka. bilangan anak yang ramai memang sesuatu yang jarang di Jepun. Kebanyakan mereka hanya mempunyai 2-3 orang anak. Jika empat orang anak sekali pun sudah dikira banyak. Maka kehidupan 9 orang anak dijadikan paparan realiti di TV. Disamping kita melihat kehidupan manusia, kita juga mempelajari sesuatu daripadanya. Itulah realiti di TV Jepun. Realiti itu sesuatu yang kita pelajari daripadanya. Dan ia tidak perlu membuatkan kita terasa terganggu dengan iklan atau ucapan dan kata-kata pengacara untuk meraih wang kita melalui SMS.