>

Satu.

Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh

Serumpun Bak Serai, Selubang Bak Tebu

Secip Bak Ayam, Sedencing Bak Besi

Begitulah pertuturan orang Melayu mengungkapkan peri penyatuan,

Jika kalian masih tidak mengerti atau buat-buat tidak mengerti, ini aku tampilkan Bahasa Inggerisnya;

United We Stand, Divided We Fall.

Dua.

Aku menelusuri youtube beberapa hari ini dan menonton dan mendengar irama-irama nusantara, lagu-lagu rakyat dan warisan-warisan kepulauan nusantara.

Aneh! di ruangan komen seperti youtube itu sungguh banyak pertelagahan dan kononnya melaungkan hak. Lagu ini milik bangsa ini dan lagu ini milik bangsa itu. Semuanya kerana terpisah akibat sempadan peta. padahal darahnya sama merah. Batiknya sama coraknya dan songkok sama tingginya. Apa perlu mengakui perbezaan sedangkan kita adalah sama.

Tiga.

aku melangsungkan Jumaat hari ini di Masjid Ebina. Perjalanan keretapi mengambil masa hampir 30 minit dari stesyen terdekat rumah ku, di Shonandai. Dari rumah ku ke stesyen keretapi pula mengambil masa 17 minit dengan bas.

Di Yamato, sebuah stesyen pertukaran,aku bertemu dua jejaka Indonesia. Alhamdulillah tujuan kami sama. Setiba di Ebina, aku di ajak sekali menaiki kereta teman mereka untuk ke Masjid yang kira-kira 1.0 km dari stesyen. Pertama kali ke Masjid itu dulu, aku tersesat dan perjalanannya mengambil jarak sekali ganda.

Selesai Solat Jumaat, aku sama-sama ke rumah temannya kerana mereka mahu membeli barangan dan daging halal. Aku turutkan sahaja kerana kereta dipandu mereka. Disitu mengenali lagi dua orang sahabat dari Indonesia. Rancak sekali perbualan mereka sehingga satu yang mengkagumkan aku.

Salah seorang itu berkata, Saya sangka teman dari Malaysia ini orang indonesa kerana tuturnya seperti Indonesia. (Mungkin di Universiti, ramai teman Indonesiaku).

Balas seorang lagi, Apa bedanya? Kitakan sama aja? Orang Melayu!

Aku kagum tuturnya itu.