>

Mathematic ( Math Mod ), originally uploaded by hanira_ira.

Papa, Aya nak Engeleshh. Teriak Adia mahu ke kelas Bahasa Inggerisnya.

Sepantas kilat Adia melakukan apa sahaja untuk ke kelas itu. Baik mandi, memakai pakaian mahupun bersolek.

Seronok benar dia ke kelas bahasa bukan pertuturan hariannya itu. Dia teruja kerana di situ ramai kenalannya. Kenalannya semua ada anak-anak Jepun yang comel-comel sepertinya. Mereka hampir seusia tetapi dihantar oleh ibu bapanya untuk diberikan ketrampilan bertutur Bahasa Inggeris.

Di Jepun, khasnya di NHK ada sebuah rancangan mengajar Bahasa Inggeris kerana mereka merasakan pertembungan dalam dunia bertemakan globalisasi menuntut mereka mempunyai skil berbahasa Inggeris.

Sekolah-sekolah mereka juga sudah menekankan pembelajaran Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang penting. Jika melihatkan pelajar mereka di dalam keretapi, sudah pasti banyak buku Bahasa Inggeris yang dibuka untuk dihafal kosa katanya.

Di Jepun juga, mereka sangat bijak menggunakan teknologi dalam pembelajaran. Konsol permaian Nintendo DS yang menjadi kegilaan muda-mudi di Jepun dijadikan alat bantuan pengajaran dan pembelajaran dibeberapa buah sekolah. Pengajaran Bahasa Inggeris menggunakan Nintendo DS dan juga pembelajaran Matematik juga menggunakan konsol tersebut.

Mungkin di Jepun pengajaran Matematik dan Sains tidak diajar di dalam Bahasa Inggeris tetapi mereka telah memulakannya di beberapa Universiti. Pengajaran dan syarahan di dalam Bahasa Inggeris telah mula di buat di Universiti HE, iaitu Keio untuk program teknologi. Perubahan ini dilihat sebagai suatu tuntutan dalam bidang sains yang lingua francanya adalah Bahasa Inggeris.

Bahasa Inggeris dilihat sebagai satu medium yang sangat penting dalam bidang Sains khususnya. Pengerusi Emeritus, Institut Maklumat Saintifik®, Eugene Garfield menegaskan, kelompok sains dunia adalah manusia yang menggunakan Bahasa Inggeris dan ia merupakan respon kepada chuvanis Bahasa Perancis yang mahukan bahasa itu mempelopori bidang sains. Katanya lagi, biarpun penyelidik Perancis menerbitkan jurnal dan hasil penyelidakan mereka di dalam Bahasa Inggeris, ia bukan bermakna hilangnya jatidiri sebagai Bangsa Perancis.

Katanya lagi sebagai sebuah bangsa maju yang mahu menjadi pemain yang signifikan dalam arena antarabangsa khususnya bidang sains, penyelidik Perancis tidak boleh menolak untuk mempelajari Bahasa Inggeris.

Di negara kita, mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik dilihat sebagai perosak bangsa. Sebenarnya, cadangan ini dilihat terlalu kedepan dalam pembangunan modal insan khususnya mendepani masyarakat maju dalam bidang sains.

Di Australia, iaitu sebuah negara yang terkenal dengan kepelbagaian etnik kerana pemastautinnya dari kalangan pelbagai etnik dan warganegara telah mengambil inisiatif melihat keberkesanan Bahasa Inggeris dalam pengajian mata pelajaran Matematik.

Kita mungkin melihat pengajaran Matematik di dalam Bahasa Inggeris menurunkan pemahaman pelajar khususnya yang berada di luar bandar. Ini kerana soalan matematik menuntut pembacaan dan pemahaman yang tinggi.

Kajian di Australia terhadap pelajar yang mempunyai tahap kecekapan berbeza dalam Bahasa Inggeris yang mempelajari matematik mendapati bahasa hanya mempengaruhi sedikit sahaja dalam kesan pembelajaran matematik. Ini kerana mata pelajaran itu diajar berdasarkan konteks dan bukannya pada teks-teks tertentu.

HE bukannya ekstremis PPSMI tetapi sebagai orang yang pernah bekerja di dalam Kementerian Pelajaran, HE melihat tujuan program ini, masih lagi jauh untuk dinilai. Ia bukan sebuah projek yang boleh kita nilai dalam masa terdekat.

Program ini ada matlamat dan wawasan tertentu untuk pembangunan modal insan. Jika wujud masalah semasa program ini dijalankan, ia pastinya adalah cara pelaksanaannya bukan masalah tujuannya. Kita biasa melihat bagaimana penyelidakan dilakukan, setiap projek dilaksanakan kita akan menilai dan membetulkannya.

Begitu juga diri kita. Jika kita mahu menjadi insan yang baik dan dalam perjalanan kita ke arah itu ada perkara yang mensasari tujuan kita itu, kita perlu menilai semula diri kita dan bergerak kepada tujuan kita semula.

HE: Lihat banyak betul bahasa Jepun sudah umpama bahasa inggeris di dalam teks kerana kebanyakkannya ditulis katakana.