>

Lentera Timur Cover, originally uploaded by hairieusoff.

Beberapa minggu lepas, HE memcuba menggunakan perkhidmatan membeli-belah secara internet. Atas kesempatan itu, tergerak hati HE untuk membeli CD Siti Nurhaliza yang baru berjudul Lentera Timur (LT) atau di Jepun ini, CD LT ini tertera tajuk 東方のともし火 (dibaca dengan touhou no tomoshi hi). Membeli di internet di gedung muzik terkemuka Jepun seperti HMV memang mudah, cuma harga dan caj perkhidmatannya agak mahal, pun begitu masih lebih murah jika HE membayar tambang keretapi ke Shibuya.

Hari ini, 東方のともし火 sudah di tangan. Sebelum ini sudah alirkan ritmanya di telinga melalui pemain audio di laman SitiZone, tetapi hari ini dapat mendengar melalui cakeranya sendiri. Keterujaan memang wujud khasnya mahu melihat sendiri kulit album ini yang diuar-uar keindahnnya. Secara peribadi, buat julung kalinya HE dapat melihat keindahan kulit CD Siti Nurhaliza. Sebelum ini, HE memang menggemari ringkasnya kulit album Siti Nurhaliza di dalam Transkripsi tetapi bagi LT ini, kehebatan pancarawarna yang dipersembahkan begitu memukau. Mungkin ada kalangan menyatakan seleksi kostum agak keterlaluan, tetapi bagi HE konsep sebegini sudah digerakkan oleh pereka seni di luar negara juga cuma yang menariknya paparan kostum kita lebih pada warna dan kilaunya.

CD ini mengandungi 11 buah lagu dan 9 daripadanya dicipta dalam Bengkel MACP – Cipta Ekspres Berirama Malaysia Bersama Siti Nurhaliza dan 2 daripada pencipta terkenal Katon Bagaskara dan Pak Ngah Suhaimi. Berikut adalah senarai runutnya:

  1. Di Kayangan Kita (Johari Teh, Keon)
  2. Bintang Malam (Johan Nawawi, Amran Omar)
  3. Cinta Ini (Katon Bagaskara)
  4. Ada Masa Mata (M. Nasir, Ad Samad)
  5. Bulan Yang Mesra (Khairil Johari Johar, Zubir Ali)
  6. Seloka Budi (Adnan Abu Hassan, Azam Dungun)
  7. Rasa Antara Kita (Khairil Johari Johar, Zubir Ali)
  8. Senyum Minang Manis (Zul Mahat, Abot)
  9. Joget Menanti Kasih (S.Atan, Habsah Hassan)
  10. Jelmakanlah Ayumu (Pak Ngah)
  11. Di Taman Teman (Fauzi Marzuki, Hairul Anuar Harun)

 

HE kira, pembikinan album ini merupakan hadiah ternilai daripada Siti Nurhaliza. Dalam keadaan dan perkembangan industri muzik di Malaysia bagai tiada kudratnya, LT dihasilkan setelah MACP mengkhususkan penciptaan lagu berirama Malaysia khas untuk Siti Nurhaliza dan dengan itu Siti tidak boleh menidakkan pembikinan album ini. HE percaya jika pasaran muzik tempatan baik, LT akan disusun muziknya dengan elemen muzik tradisional sepenuhnya. Oleh kerana ada sedikit ketempangan dalam pasaran muzik tempatan, maka Siti Nurhaliza menelusurkan LT dengan konsep Etnik Kontemporari.

Permulaan LT menggunakan Di Kayangan Kita sangat tepat. Ini kerana pembukaan runut itu dengan taksim yang biasa kita dengar dengan petikan gambus dalam lagu-lagu Zapin cukup menangkap telinga, baik kita yang sudah biasa dengan aliran muzik tradisional, malah ia juga menyenangkan telinga bagi “orang luar” mendengarnya. Di Kayangan Kita suatu lagu romantis dengan gaya tradisional. Ia terus melekat di hati HE buat pertama kali mendengarkannya. Moga dijadikan single kedua kelak.

Sesuatu yang menarik di dalam LT ialah kepelbagaian konsep lagu khususnya dalam LT ini dimuatkan runut ciptaan M Nasir berjudul Ada Masa Mata. Susunan muziknya mengambil elemen muzik Thai iaitu Rambong untuk mengetengahkan kelainan. Selain catchy, ia sungguh mencabar vokal Siti Nurhaliza pada pandangan HE khususnya perbezaan yang agak ketara antara rangkap-rangkap dan juga korusnya. HE suka transisi suara Siti di dalam lagu ini. Lagunya memang sukar pada nota-nota “SEPERTI JUGA AKU, BILA MENGENALI DIRIMU” yang HE nampak mencabar pada transisi vokal.

Sebuah lagu lagi yang HE kira sangat cantik kreativitinya ialah Lagu ciptaan Adnan Abu Hassan yang berjudul Seloka Budi. Seloka Budi pada dasarnya menonjolkan etnik India dengan sample Tabla di dalam lagu ini. Beberapa bahagian, Adnan meletakkan improvisasi Siti dengan gaya nyanyian klasikal India. Gaya ini HE kira telah dicuba Siti Nurhaliza dalam lagu Intrig Cinta di dalam album Transkripsi. “NIAN SUNGGUH BUDIMU SAYANG, SENYUM BILA TERPANDANG, WALAU SEPI DI DALAM, RIASMU KU TERTAWAN” dinyanyikan Siti Nurhaliza dengan kawalan nafas yang HE kagumi. Malah semasa bait-bait pantun dilagukan juga menuntut kawalan pernafasan yang betul dengan nota yang sebegitu amat mengkagumkan.

Lentera Timur Inlay, originally uploaded by hairieusoff.

Dua buah lagu yang elemen timur tengah yang agak mendominasi ialah runut Di Taman Teman dan Jelmakanlah Ayumu. Kedua-duanya menggunakan sedikit elemen qasidah. Kedua-duanya juga kegemaran HE. Di Taman Teman sungguh menarik kerana mencabar vokal rendah Siti Nurhaliza yang sejak kebelakangan ini sering dilakukan. Walaupun rendah suaranya tetapi masih mampu menjelaskan liriknya. Ia memang cabaran yang tersahut. Lebih baik pula pada korusnya nadanya ditingkatkan dari kerendahan nota pada rangkap awalnya. Jelmakanlah Ayumu juga molek lagunya. Ada sedkit gaya cha-cha pada lagu ini. Sesuatu yang HE sangat suka lagu ciptaan Pak Ngah ini ialah pengakhiran lagu ini Siti Nurhaliza menyanyi menuruti melodi sehingga tamat. Menamatkan lagu dengan vokal Siti Nurhaliza sangat mengesankan HE.

Ketiga-tiga album tradisional Siti Nurhaliza, dari Cindai kepada Sahmura dan membawa ke Sanggar Mustika, pasti ada runut Joget yang diselitkan. Maka di dalam LT juga, rentak Joget sudah semestinya tidak boleh diketepikan. Lazimnya dengan mendengar susunan muziknya kita mampu mengenali ritma joget. Sebelumnya, Siti Nurhaliza tampil dengan Joget Pahang, Joget Berhibur, Joget Kasih Tak Sudah dan Joget Senyum Memikat. Di dalam LT, pertaruhan joget diberikan kepada Joget Menanti Kasih. Kelebihan Joget Menanti Kasih pada lirik dan korusnya yang dipelbagaikan. Penggunaan “InsyaAllah” dalam lirik joget, buat pertama kali sampai ke pendengaran HE dan ia sesuatu yang menarik perhatian.

Secara peribadi, HE tidak berapa berkenan dengan runut Cinta Ini yang disisip dalam senarai material LT. Pada HE ia berjiwa pop pada asalnya tetapi disusun menjadi jiwa etnik. Pun begitu melodinya sangat menangkap jiwa. Malah liriknya juga mengesankan. Lagu ini bagai lagu Aris Ariwatan, Cinta Tak Kenal Siapa. Pada mulanya begitu kuat elemen tradisinya tetapi pertengahannya agak segar kepada pop. Cuma, persembahan  Cinta Ini bersulamkan rebana dan gendang yang menjadikan perisa etniknya lebih kuat berbanding Cinta Tak Kenal Siapa.

Lagu-lagu lain seperti Bintang Malam, Rasa Antara Kita dan Senyum Minang Manis adalah rencah lagu-lagu melayu dengan sentuhan rasa gembira. Bintang Malam misalnya umpama ditarikan dalam filem klasik Melayu. Manakala Rasa Antara Kita agak kuat Inangnya dan Senyum Minang Manis mencerminkan fiesta muzika gaya Minang.

Satu-satunya lagu berentak asli yang diselitkan dalam LT ini ialah Bulan Yang Mesra. Lagu ini sesungguhnya menampilkan lenggok asli suara Siti Nurhaliza. Malah lagunya juga sangat asli susunannya. Arkodian dan gendang bertingkah di dalam lagu ini dengan ketara dan ia seungguh murni kedengarannya.

Secara jujurnya, lagu Di Kayangan Kita, Di taman Teman adalah pilihan cocok di telinga HE. Pun begitu dari segi keterujaan mendengar vokal Siti Nurhaliza memberikan HE ruang untuk mengamati Ada Masa Mata, Seloka Budi dan Jelmakanlah Ayumu. Sebuah Cahaya dari Timur yang memberikan sinar dalam kemalapan industri. Moga kehadirannya akan menerangkan alam budaya kita. Salam Perjuangan. Atas nama perjuangan itu HE sanggup membeli dari negeri timur jauh ini.