>Dari pandangan tidak profesional HE, rasanya Slumdog Millionaire bakal diangkat menjadi Best Picture

>

HE baru selesai menonton kelima-lima filem yang bertanding dalam kategori Best Picture untuk Academy Awards tahun ini. Filem-filem tersebut HE mulakan dengan Slumdog Millionaire. Kemudian, The Curious Case of Benjamin Button, The Reader, Frost/Nixon dan terakhir sekali filem Milk. 

Kebanyakan calon kali ini banyak bercerita tentang individu/biografi dan menggunakan imbas kembali sebagai teknik penceritaan. Berbanding calon-calon tahun lepas, banyak bercerita sesuatu perkara terlebih dahulu dan menyimpulkan cerita dengan beberapa kejutan di akhir cerita. Tahun ini tidak banyak latar era peperangan digunakan melainkan the reader ada mengambil isu penindasan semasa perang dunia kedua. OK! Apa kata HE kongsi bersama cerita-cerita menarik untuk calon Best Picture tahun ini. Mungkin ia boleh menjadi minat kalian untuk menontonnya.

 

Slumdog Millionaire

Pada HE filem ini sangat baik. Bercerita tentang dua beradik, Jamal Malik dan Salim Malik yang berugama Islam telah melalui kehidupan selepas ibu mereka terbunuh dalam rusuhan antara agama di kota Mumbai. Kejadian itu telah menemukan mereka dengan Latika, seorang budak perempuan yang mereka anggap sebagai manusia ketiga dalam siri Three Muskateer ciptaan minda mereka. Beberapa transisi telah berlaku dalam kehidupan dua beradik ini dan juga Latika sehinggalah Jamal mencuba nasib di dalam rancangan Who Wants To Be A Millionaire. Penceritaan filem ini adalah secara imbas kembali kehidupan Jamal setelah disoal siasat polis kerana dituduh menipu dalam rancangan tersebut. HE rasa filem ini mampu memenangi Best Picture tahun ini. Selain plotnya agak pantas dan tidak menjemukan, rencah wataknya agak pelbagai.

 

The Curious Case of Benjamin Button

Filem ini terlalu meleret pada awalnya pada pandangan HE. Seorang wanita dalam keadaan terlantar di hospital menceritakan tentang seorang buta membikinkan jam di sebuah bangunan di sebuah bandar. Oleh kerana anak lelakinya mati, lelaki buta itu meneruskan pembikinan jam dengan mengundurkan jarum saat sebagai tanda harapan agar masa dapat diterbalikkan dan anaknya kembali kepangkuannya. Ini adalah mesej cerita ini. Apakah akan berlaku sekiranya ada manusia yang hayatnya dilahirkan sebagai tua dan matinya dalam keadaan bayi. Wanita tadi (bernama Daisy) meminta anaknya (Caroline) membaca diari berserta poskad dan gambar dari seorang yang bernama Benjamin Button. Sambil mengimbas kembali kehidupan seorang Benjamin Button yang kelahirannya dalam wajah seorang tua sehinggalah ia mati dalam bentuk seorang bayi, Caroline baru mengetahui bahawa Benjamin Button adalah ayahnya. Sebaik sahaja diari itu habis dibaca, Daisy menghembuskan nafasnya untuk menutup kisha fantasi ini. Kepada yang suka kisah ala Forest Gump, boleh menonton filem ini kerana dia mengisahkan rentetan hidup seseorang individu. Di Jepun, filem ini baru hadir ke panggung. 

 

The Reader

Sebuah lagi kisah menggunakan kaedah imbas kembali. The Reader sebuah filem adaptasi Novel Jerman dengan judul sama. Micheal Berg (Ralph Fiennes) memandang luar tingkap melihat sistem transit aliran ringan dan mengimbau kenangannya sebagai seorang remaja 15 tahun (David Kross). Ketika dia pulang ke rumah dalam keadaan sakit, dia diselamatkan oleh seorang wanita dan akhirnya menjadi sebuah perhubungan sulit. Menjadi rutin harian Micheal Berg, setiap hari dia membacakan buku untuk wanita yang menjadi cintanya, Hanna Schmitz (Kate Winslet) sehinggalah pada suatu hari apabila Hanna menghilangkan diri tanpa pengetahuan Micheal. Setelah Micheal memasuki sekolah Undang-Undang, dia menyertai sebuah perbicaraan era Holocoust dan di situ, dia melihat Hanna menjadi defendan atas tuduh bersubahat membunuh tahanan Yahudi. Dalam perbicaraan itu, Hanna menyembunyikan identitinya yang tidak tahu membaca dan atas itu dia mengaku menulis laporan pembakaran ban yang menjadi tempat pembunuhan Yahudi. Hanna dipenjara seumur hidup. Babak seterusnya menceritakan semula Micheal ketika dewasa, mencari semula Hanna. Tanpa pengetahuan Hanna dia merakamkan bacaannya dan menghantar kepada Hanna. Hanna mula mempelajari untuk membaca dan menulis dari situ dan mula mengetahui yang Micheal menghantar kaset-kaset itu. Hanna akhirnya dibenarkan keluar dari penjara tetapi pada hari terakhirnya di penjara, dia membunuh diri. Filem ini secara plot, sangat menarik dengan falsafah tertentu, khasnya menjadi manusia yang bijak membaca adalah permulaan mengenali kehidupan. Dari bacaan memaklumkan kepada pembaca bahawa sesuatu boleh dimanfaatkan untuk diri. Kalian boleh menonton filem ini tetapi belum tentu dibenarkan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia.

 

Frsot/Nixon

Kisah filem ini tidak lebih daripada bagaimana usaha David Frost seorang pengacara terkenal Britain dalam mendapatkan Richard Nixon sebagai tetamu dalam rancangan temubualnya. Elemen filem ini hampir sama dengan filem The Queen yang mengambil kisah beberapa bulan sebelum kematian Puteri Diana. Kisah Frost/Nixon pada asasnya mengimbas kembali temubual Nixon dan Frost dimana hampir 2/3 filem ini berkisar dalam temubual itu dan dibelakang tabirnya. Sebagaimana dunia ketahui, temubual ini sebenarnya telah mencipta satu sejarah di mana Nixon terperangkap dengan soalan Frost sehingga menyerlahkan dirinya dalam skandal Watergate dan beberapa perilaku menutup beberapa kes. Bertemakan dokumentari, filem ini juga mengayakan beberapa temubual dengan watak-watak utama di belakang temubual bersama Nixon. Jelasnya filem ini memang agak sukar untuk dihabiskan kerana durasi filem ini terasa begitu perlahan. 

 

Milk

Sebuah lagi kisah homoseksual. Jika kisah Aids bersama sulaman kehidupan homoseksual dalam Philedelphia lakonan Tom Hank agak tersisip isunya, manakala di dalam Brokeback Mountain masih bercerita secara redup tentang isu itu, tetapi di dalam Milk agak terang penceritaan tentang homoseksual. Memulakan babak dengan keratan akhbar tentang Milk, pengumuman tentang kematian Datuk Bandar dan Milk, serta adegan Milk merakamkan setiap kejadian di kaset sebelum dia dibunuh, filem ini menggunakan juga sulaman imbas kembali dan berselang dengan rentetan peristiwa kehidupan Milk. Filem ini mengisahkan riwayat Harvey Milk yang merupakan aktivis homoseksual untuk mendapatkan hak golongan homoseksual di California agar diterima untuk bekerja secara profesional dengan identiti terbuka. Beberapa siri kejayaan Milk khasnya dalam menidakkan proposition 6 yang menghalang golongan itu berkerja secara terbuka telah membuatkan hubungannya dengan pegawai bandaran california, Dan White, satu musuh politik sehingga Dan berjaya memecah masuk ke pejabat Datuk bandar dan membunuh Milk sejurus menembak mati Datuk Bandar California ketika itu, George Moscone. Filem dikategorikan sebagai R (Restricted) di America dan dengan itu pastinya bukan untuk dibawa tayangannya di Malaysia.

 

Seperti HE kata pada awal entri ini, kebanyakan filem pada tahun ini khususnya calon Best Picture menggunakan imbas kembali sebagai penceritaan. Mungkin cara ini amat sesuai dengan penceritaan riwayat ataupun adaptasi novel. Bagi HE, Milk mungkin sukar mendapat perhatian juri kerana isunya masih lagi terhadap moral yang belum diterima manusia, hatta di Amerika yang dikatakan negara bebas. Frost/Nixon dan The Curious Case Of Benjamin Button dirasakan agak meleret dan membosankan. The Reader agak baik dari segi lakon layar bagi HE, gambarnya cantik dan sayangnya bila bercerita tentang Jerman, pastinya keganasan nazi terhadap Yahudi dipropagandakan. Ini mungkin bonus kepada The Reader kerana perfilemen Hollyword yang kebanyakan dipelopori Yahudi. Kalian mungkin bertanya, kenapa mesti HE menonton filem barat yang rata-rata kononnya bertujuan menanam propaganda Yahudi di dalam minda kita. HE fikir, selagi kita berpegang pada agama kita, kita akan tahu menilai mana yang baik dan yang mana buruk. Selain daripada itu, sebagai manusia yang mahu berjuang, kita perlu tahu minda pihak lawan kita. Jadi bagaimana caranya kita mengetahui minda mereka, sudah tentu melalui apa yang mereka sampaikan. Walaupun menonton filem bukanlah satu-satunya cara, tetapi ia juga adalah pembelajaran terhadap sesuatu masyarakat dan pemikiran golongan yang membikinkannya. Jadi, jangan menolak mentah-mentah filem atas alasan ia sebuah propaganda. Sebagaimana CNN memberi propaganda, kita tidak akan tahu menilai propaganda mereka andai kita tidak menontonnya.

 

Apa juga isunya, HE lebih berminat agar Slumdog Millionaire dinobatkan sebagai pemenang Oscar untuk Best Picture. Ia bukan sahaja bercerita dari sudut yang berbeza daripada apa yang kita lihat dari Hollywood sebelum ini tetapi moodnya sangat pantas sepantas ritma lagu-lagu hindustan berbanding calon-calon lain. Malah ia juga menonjolkan kehidupan kanak-kanak secara total yang jarang bermain di layar perak kecuali dalam animasi Disney. Ia juga bercerita dari aspek rakyat terbawah berbanding calon-calon lain yang mengangkat individu -individu popular dan zahirnya pada tahap mahsyur. Filem dari Novel Q and A hasil tulisan Vikas Swarup itu mungkin menjadikan Bollywood terus menari di pentas Hollywood khasnya pada Oscar nanti. Kita bakal menyaksikan Gaya dan tarian ala Bollyword di pentas Akademy Awards 22 Februari nanti apabila dua lagu dari Slumdog bakal berkumandang sebagai calon-calon Lagu Original Terbaik. Semoga Berjaya Slumdog Millionaire.

One thought on “>Dari pandangan tidak profesional HE, rasanya Slumdog Millionaire bakal diangkat menjadi Best Picture

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s