>Semalam HE membawa anak ke klinik kanak-kanak kerana kedua-duanya (Adia dan Arisa) selesema. Kliniknya perlu datang dengan temujanji. HE, isteri tidak tahu menahu akan hal itu. Setahu HE hanya untuk suntikan bayi perlu temujanji. Mujur dengan kurniaan rahmat Allah dengan sifat Maha MenyayangiNya, tidak ramai orang dengan temujanji datang dengan waktu yang tepat, maka kedua-dua anak dipanggil doktor. Andai ramai orang ketika itu, perlulah anak HE menuggu sehingga tiada manusia.

Sesuatu yang menarik untuk “perniagaan” kesihatan seperti ini di Malaysia jika klinik hanya hadir dengan temujanji. “Peniaga” kesihatan boleh mencongak-congak bilangan pesakitnya dan mengira-ngira laba yang datang. Itu kelebihan negara maju memperuntukkan doktor mengikut kepakaran. Doktor mereka menumpukan bidang tertentu. Jika sakit tulang, sila ke klinik tulang, jika sakit telinga, sila ke klinik telinga dan begitulah mereka mengkhususkan kesihatan, doktor dan pesakit. Cantiknya bila kita mendapat pakar merawat kita tetapi hodohnya bila kita perlu mencari klinik yang bersesuaian dengan sakit kita dalam situasi mencemaskan. Bila keadaan sebegitu, terdetik dibenak, bahawa doktor di Malaysia sungguh hebat kerana mengendalikan pelbagai sakit tetapi tercetus juga di fikiran adakah benar-benar hebat atau semuanya diserahkan kepada paracetamol?

Walaupun kita perlu mengingatkan sakit semasa sihat agar kita tidak melupakan Tuhan, lupakan tentang doktor dan sakit sebentar. Ada sesuatu yang hendak dikongsi bersama. Seorang bernama Joselino Nobrega De Luz yang dikatakan Psychic dan mempunyai kebolehan meilhat masa depan melalui mimpinya telah meramalkan Obama menduduki White House. Pada tahun lepas beliau meramalkan Selesema Burung versi baru akan muncul dengan virus lebih “bertenaga”. Malah penyakit itu akan meragut hampir 73 juta nyawa. Biarpun ramalan atau mungkin ia tidak benar, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga tubuh agar senantiasa ditunjangi kesihatan yang baik dan dengannya kita mampu beribadah dengan mudah.