>

Hari ini di Tokyo International Film Festival kali ke 21, mengumumkan My Marlon and Brando, sebuah filem Turki memenangi Best Asian-Middle Eastern Film Award. Kategori ini juga disertai filem Muallaf atau The Convert, arahan Yasmin Ahmad. Walaupun tidak memenangi anugerah itu tetapi filem Muallaf adalah antara 3 filem yang diberikan Special Mention semasa majlis anugerah TIFF kali ini.

Rabu lepas,selepas menonton Under The Tree (Di Bawah pohon) di Roppongi, HE bergegas ke Shibuya untuk menonton Muallaf. Tiket memang sudah dibeli awal. Sempat sampai tepat pada waktunya dan sempat juga meninjau variasi penontonnya. Panggung hampir penuh dengan majoriti warga Jepun dan kelihatan juga manusia-manusia berkulit cerah dari Barat dan tidak ketinggalan beberapa kumpulan kulit bersawo matang seperti HE menyaksikan buah tangan Yasmin Ahmad. Terasa bangga kerana belum pun ditayangkan secara rasmi di Malaysia, HE sudah menontonnya di sini.

***

“Risau saya melihat dua beradik itu memetik ayat-ayat dari St Augustine”, Kata Brother Anthony (Tony Savarimutu) kepada Brian (Brian Yap). ~~~

“Syy,mungkin ada orang Wahabi di sini” Ana (Sharifah Aleysha) mengingatkan kakaknya Ani (Sharifah Almani) kala berbincang tentang isu sensitif agama bersama Brian di kedai mamak.~~~

Babak Brian semasa kecil ditelanjangkan oleh bapa di hadapan khalayak lantaran “dosa”nya melihat gambar yang tidak sepatutnya dan pula Ani dibotakkan kepala oleh bapanya kerana tidak mahu memotong rambut seperti diminta ibu tirinya, semunya merupakan elemen kesilapan yang dihukum dengan tanpa meletakkan hormat kepada anak-anak. Yasmin mungkin mahu menonjolkan kadang-kala orang dewasa, walaupun sudah matang, tetap melakukan kesilapan dan ia akan menjadi parut paling besar dalam hati seorang anak kecil dan akhirnya menjadi barah dalam perhubungan keluarga.

Filem ini pada dasarnya teguh dengan falsafah. Ia lebih kuat dalam falsafahnya berbanding trilogi sebelum ini (Sepet, Gubra dan Mukhsin). Hormat menjadi tunjang penceritaan ini. Biar pun berbeza agama, hormatilah pada kepercayaan masing-masing. Brother Tony mengungkapkan “Setiap yang beragama itu mencari tuhan dalam caranya sendiri.” dan adegan seorang ala Imam berjalan bersama-sama dengan brother Tony merupakan elemen yang cuba diterapkan Yasmin untuk menggambarkan, walaupun berbeza agama, kehidupan yang aman menjadi teras perhubungan. Bukan bermaksud menceritakan agama yang mana agama benar atau tidak, pucuk pangkal diri kita berjuang untuk agama sendiri dan dalam masa yang sama menjalinkan kehidupan harmonis dengan orang lain yang berbeza perjuangan agama daripada kita.

Muallaf tidak bercerita tentang kehidupan seorang muallaf dalam erti kata biasa. Kita tidak melihat seseorang memeluk Islam di dalam Muallaf dan menjalani kehidupannya sebagai orang baru beragama Islam. Walau bagaimanapun Muallaf bercerita tentang bagaimana orang Islam juga perlu menghormati hidupnya. Menghargai apa yang dimilikinya, iaitu agamanya, keluarganya dan dirinya.

“Itu dua orang budak selalu bincang, tapi bila time sembayang, mereka pergi sembahyang” Kata mamak kedai tempat Ana, Ani dan Brian menjamah Roti Canai. Tanpa disedari, walau betapa khusyuknya mereka berbual dan berbincang tentang sesuatu perkara, apabila tiba waktu sembahyang, Ana dan Ani terus bergegas untuk menunaikan tanggungjawab. Ini juga cuba ditegaskan oleh Yasmin kepada kita iaitu bagaimana menghormati waktu seperti yang telah difirman Allah dalam 103:1-3.

Brian diceritakan begitu sibuk dan tidak mahu balik ke kampung kerana sibuk bekerja walaupun berkali-kali ditelefon ibunya. Akhirnya pada penghujungnya dia pulang juga kerana Ana yang melarikan diri daripada bapanya juga membuat keputusan menjaga bapanya yang sakit. Ana menasihati Brian untuk pulang, sama sepertinya. Menghargai dan menghormati manusia yang menjadikan mereka wujud di muka bumi ini.

Adegan dalam Muallaf sangat menyentuh hati dan adakalanya sangat nakal. Di Panggung Bunkamura, Shibuya, ada beberapa petikan adegan yang menjadi kesayuan seluruh panggung. Antaranya Ketika Brian pulang dan memeluk ibunya. Kemudiannya adegan Ana dan Ani sebelum tidur menceritakan kesedihan kejadian hari itu dimana Ani dipukul gurunya. Tidak kurang juga babak di mana, Brian ditelanjangkan bapanya. Itu semua menjadikanpanggung sepi seketika.

Di samping kesedihan dalam Muallaf, Yasmin bermain dengan emosi gembira dengan keletah watak-watak di dalam Muallaf. Panggung gamat ketika melihatkan Brian mencium baju dalam semasa mengemas rumah tinggalan Ana dan Ani (tidak pasti akan diluluskan LPF). Kemudiannya adegan Ketika Brian ditakutkan dengan Ana dan Ani di rumahnya. Serta adegan semasa Yuhang menghulurkan tangan yang dipenuhi air liur anjing yang dikatakan berpenyakit kepada datuk untuk bersalaman. Babak Ana dan Ani mlukis muka mereka dengan minyak pelincir motor mereka yang sedang dibaiki Brian juga menarik perhatian penonton.

Satu ciri dan identiti Muallaf ialah nombor. Nombor ini mewatakkan Ani yang mempunyai ketrampilan mengingati petikan ayat dengan menyebut nombor surah. Petikan-petikan ini menurut HE bukan menonjolkan menandingi atau membeza-bezakan agama atau mengetepikan kepercayaan segolongan manusia tetapi dalam hidup yang terus menuntut untuk meneroka dan mempelajari perkara baru, watak Ani yang dilebel sebagai manusia yang mengejar ilmu teologi dengan mahu meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Singapura, satu elemen berat dan menjadi isu sekarang iaitu dialog antara agama dan dalam masa yang sama mencari persamaan di antaranya. Walaupun isu ini agak sensitif tetapi untuk menonton Muallaf, masyarakat perlu duduk dan menontonnya dengan hati terbuka. Mungkin ada subplot dan plot yang dilihat secara terus seperti tersongsang atau apa juga perkataan yang sesuai dengan ketidakbolehterimaan masyarakat tetapi alihkan pandangan kalian kepada sudut positif dalam setiap perkara dan cari maksud yang baik di dalam Muallaf.

Sama seperti ertikata Muallaf yang biasa kita kenali iaitu manusia yang baru memeluk Islam yang sentiasa mencari jalan dan penerokaan tentang Allah S.W.T, Muallaf di tangan yasmin, masih berpegang pada pengertian yang sama, di dalam hidup teruskan meneroka pengertian hidup dengan mendasari rasa hormat pada diri, persekitaran dan Pencipta. Dalam masa yang sama, Yasmin juga menganjurkan agar kita harus memadamkan ego dan menjulang erti kemaafan demi masa depan kita. Yang lalu biarkan berlalu, yang depan adalah penerokaan.