>

Sushi – Misc, originally uploaded by hairieusoff.

Rasa di hati hendak bercerita tentang Sushi iaitu makanan nak menjadi citra masyarakat Jepun. Ramai berpandangan makanan Jepun mentah. Hakikat itu benar tetapi tidak semua. Yang pasti makanan yang benama Sashimi (刺身) sememangnya mentah iaitu makanan laut yang dipotong berupa keping-kepingan dan dicicah dengan kicap Jepun dan terus dimakan.

Sushi walaupun sebahagian “topping”nya mentah tetapi ada juga yang separa bakar atau yang dimasak.  Tambahan pula pengenalan terhadap rasa-rasa baru dari luar, rasa sushi telah dipelbagaikan. Tetapi asasnya, sushi merupakan Sashimi yang menjadi topping kepada nasi yang digaul bersama cuka.

Sushi – Unagi, originally uploaded by hairieusoff.

Pada awalnya memang bukan menjadi kegemaran HE untuk merasai makanan ini kerana khuatir dengan rasa hanyir makanan laut tetapi isteri HE minta untuk mencubanya. Kata orang alah biasa tegal biasa. Kalau selalu menghadapnya maka menjadi keselesaan buat kita.

Sushi ada pelbagai jenis tetapi yang lazimnya menjadi makanan HE mahupun kebanyakan orang Jepun sekarang adalah jenis Makizushi iaitu nasi yang dibalut dengan rumpai laut kering dan di dalamnya ada timun atau jeruk atau apa sahaja yang bersesuaian. Satu lagi yang kerap dimakan adalah sushi bernama Nigiri Sushi yang meletakan Sashimi di atas nasi. Selain itu yang HE tahu ada Oshizushi yang selalunya nasi yang dicampur cuka itu, si dletak berlapis-lapis dengan apa sahaja makanan laut yang sesuai dan kemudiannya dipadatkan di dalam sebuah bekas (lazimnya bekas kayu) untuk beberapa ketika dan apabila hendak dimakan, ia dipotong seperti kek.

Sushi – Ebi Avocado, originally uploaded by hairieusoff.

Banyak kedai Sushi tetapi ia ada juga kepelbagaian harga bergantung kepada bahan-bahan dan juga cara penyediaan. HE pernah makan di kedai sushi yang mahal iaitu, pembuatannya berdasarkan permintaan kita. Boleh kita samakan seperti Ala Carte. Bahan mereka juga agak segar.

Ada juga Sushi yang murah dan kebanyakkannya kedai-kedai Kaiten Zushi. Walaupun tidak semua Kaiten Zushi murah tetapi ada beberapa yang popular kerana harga sepinggan sekitar 100 yen. HE kerap makan di Kurazushi (くら寿司) atau di Genki Sushi atau di Sushiro. Kenapa di panggil Kaiten Zushi? Kerana di restoran sushi sebegini, piring-piringnya diletakkan di atas alur yang bergerak melewati meja di dalam restoran tersebut.

Sushi – Salmon, originally uploaded by hairieusoff.

Kehebatan teknologi telah menjadikan proses memesan Sushi menjadi mudah. Kita tidak perlu menunggu Sushi yang dikehendaki sampai ke meja atau memanggil pelayan untuk mendapatkannya, sebaliknya sesetengah kedai Sushi sudah ada skrin di meja untuk memilih menu dan Sushi yang dikehendaki. Kita hanya perlu menunggu Sushi yang dipesan sampai ke meja dalam beberapa minit. Seperti di Kurazushi, menariknya, piring-piring Sushi boleh dimasukkan terus ke tempat pembasuhkan dari meja masing-masing. Piring-piring ini akan dikira secara automatik untuk pembayaran kelak. Selain daripada itu, setiap 5 piring yang dimasukkan, kalian bakal (tidak semestinya) dapat Gacha-Gacha iaitu Kapsul-kapsul yang mengandungi mainan.

Selalunya Sushi dimakan bersama beberapa perkara iaitu Wasabi (ke sini untuk maklumatnya), Jeruk Halia, Syoyu (Kicap) dan juga Teh hijau. Selalunyanya sesetengah Sushi telah diletakkan Wasabi di bawah “topping”nya. Ada yang tidak suka makan Wasabi jadi akan membuat pesanan berasingan menu Sushi tanpa Wasabi. Jadi bagaimana kalian mahu tahu pinggan tanpa Wasabi? Selalunya piring Wasabi Nuki (tanpa wasabi) akan berlainan dengan piring yang bersama Wasabi. Kalian perlu baca di dinding restoran yang mana piring tanpa Wasabi. Selalunya piring tanpa Wasabi akan sama dengan piring Sushi untuk menu kanak-kanak. Sebagai contoh pada gambar untuk menu 1 dan 4. Piring lain adalah untuk menu bersama Wasabi. Tetapi sejak kebelakangan ini HE lihat kebanyakan Sushi semuanya sudah tanpa Wasabi, jadi jika kalian hendak makan bersama Wasabi, sila letak sendiri dengan jumlah yang kalian suka. Maka isu piring sudah tiada lagi, semua piring adalah sama.

Sushi – Uni, originally uploaded by hairieusoff.

Ada pelbagai menu Sushi untuk di cuba. Beberapa menu yang menjadi kegemaran HE ialah Unagi (belut – sudah dipanggang), Salmon atau Salmon dan Bawang, dan Udang Avokado. Berdasarkan gambar di atas, menu tersebut ialah:

  1. コーン (Corn) -Jagung
  2. たまご焼き (Tamago Yaki) – Telur Bakar (Sebenarnya goreng sahaja
  3. 焼きはらす (Yakiharasu) - Salmon (bahagian perut) bakar
  4. かに本身 (Kani Honmi) – Isi ketam
  5. メガ かつお (Mega Katsuo) – Ikan Tongkol

HE suka makan Sushi di sini kerana ikannya agak segar. HE tidak tahu bagaimana di Malaysia, mungkin sudah segar-segar berbanding dahulu. Walau bagaimanapun, HE masih tidak melupakan Tempoyak, Belacan dan Cencalok dalam rasa dan citarasa HE.