>Kemandulan Minda

>Suka benar, orang-orang kita mencipta frasa-frasa menarik khasnya apabila hendak menarik perhatian umum. Paling baru adalah kata-kata seorang ahli parlimen kita yang menyatakan Jawatankuasa Istilah Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai mengalami sindrom Kemandulan Minda.

Puncanya disebabkan badan yang bertanggungjawab tidak mencipta sebarang perkataan baru sebaliknya banyak meminjam kata-kata luar seperti Bajet, Konsultasi dan sebagainya. Katanya lagi kata ‘snek‘ juga sudah kerap digunakan sedangkan boleh digantikan dengan jajan.

Pada hemat HE yang daif dengan bahasa ini sudah tentu tidak menolak kebenaran itu tetapi pada asasnya, perkataan seperti jajan memang sudah ada di dalam Kamus Dewan. Apa yang menjadi cabaran kepada rakyat kita adalah kurang kesedaran untuk merujuk badan seperti DBP untuk memastikan perkataan yang digunakan bertepatan dengan maksud yang hendak disampaikan. Sebagai contohnya, perkataan yang digunakan untuk snek yang dicadangkan oleh ahli Parlimen tersebut untuk digantikan dengan kata Jajan mungkin tidak boleh digunakan untuk snek bagi waktu makan di antara waktu makan utama. Mungkin kata Kudapan lebih mencerminkan maksud yang diinginkan. HE mungkin tidak bijak dalam mencari makna kata-kata tetapi penterjemah dan orang-orang di DBP mungkin lebih arif dalam nuansanya.

Selain daripada itu, promosi terhadap sesuatu perkataan tidak dilakukan sebagimana seorang tokoh politik kita suatu ketika dahulu. Kita diperkenalkan dengan perkataan baru untuk menggambarkan maksud tertentu dan ia menjadi kegunaan semasa dan luas digunakan sehingga menjadi sebati dalam kosa kata harian kita. Sebagai contoh, perkataan-perkataan seperti Canggih, Madani danWawasan. Pada ruang-ruang tertentu, promosi bahasa boleh dilakukan seperti ucapan-ucapan besar seperti Pembentangan Belanjawan atau Ucapan Dasar Perhimpunan dan Mesyuarat Agong.

Bercakap tentang kata Belanjawan, mengingatkan HE akan alasan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir dalam perbentangan Bajet 2003 apabila menggunakan kata Bajet bagi menggantikan Belanjawan. Kata beliau;

Kita kenali anggaran kewangan bagi satu jangka masa dengan nama belanjawan. Tetapi kita tentu tahu bahawa kita bukan sahaja membuat anggaran wang yang akan dibelanjakan tetapi juga wang yang akan diperolehi. Jumlah wang yang kita akan perolehi menentukan jumlah wang yang kita dapat belanja. Amatlah tidak bijak jika kita buat anggaran jumlah peruntukan yang kita akan belanja tanpa mengambil kira jumlah hasil yang kita akan terima.

Justeru itu, perkataan belanjawan adalah tidak tepat. Perkataan budget dalam Bahasa Inggeris yang bermaksud perancangan keluar masuk wang untuk urusan tertentu adalah lebih tepat. Jika diizinkan, saya ingin menggunakan perkataan ‘budget’ dengan ejaan B-A-J-E-T kerana perkataan ini lebih mencerminkan anggaran urusan kewangan negara yang akan saya bentangkan.

Malah perkataan Budget diterjemahkan di dalam istilah ekonomi Indonesia sebagai Anggaran. Maka DBP pun memasukkan perkataaan Bajet di dalam Kamus Dewannya untuk Edisi Ketiga bagi memperkayakan lagi kosa kata Bahasa Melayu.

Bercakap tentang Bahasa Melayu yang dirasakan terlalu banyak meminjam kata bahasa asing khasnya bahasa inggeris, Ingin HE nyatakan juga bahasa Jepun juga meminjam begitu banyak bahasa luar (Gairaigo). Malah perkataan yang dipinjam kadang kala tidak mencapai maksud sebenar dari kata yang dipinjam. sebagai Contoh コンセント (konsento) memberikan maksud Plug dan juga soket. Selain itu kata seperti タバコ (tabako – rokok)、レンジ (renji – range @ ketuhar gelombang mikro)、レモコン (remokon – remote control).

DBP mungkin boleh mengambil kaedah Jepun untuk mencipta perkataan sebagaimana di’saran’kan oleh ahli parlimen terbabit bagi menidakkan maksud kemandulan minda yang diungkapkan. Kebanyakan kata-kata jepun telah diringkaskan dari perkataan asal dan sehingga menjadikannya sebagai bahasa yang berbunyi ala Jepun. Walau pun begitu, ia menjadi bahan gelak ketawa masyarakat asing di Jepun kerana kepelikannya. Sebagai contohnya Rajikase yang diambil dari perkataan Radio Cassette (Rajio Kasetto atau Perakam kaset), コンビニエンス・ストア (KombinianSutoa) menjadi Kombini sahaja.

Selain daripada itu kata ファミリーコンピューター (Famili Komputa) ditukar kepada Famikon yang bermaksud Permainan Komputer yang boleh dimainkan di TV atau bermain bersama keluarga. Satu lagi perkataan yang sungguh menarik adalah ネットオカマ iaitu ネット yang bermaksud Net atau internet オカマ yang bermaksud pondan tetapi ringkasan perkataan ini menjadikannya sebuah perkataan lain iaitu ネカマ (Nekama) yang bermaksud lelaki yang suka menyamar sebagai wanita di dalam alam internet. Begitulah jepun mencipta kosa katanya.

Pun begitu, HE rasa DBP bukan zahir yang patut dibebankan dengan tanggungjawab sepenuhnya atau meletakkan kesalahan ke atasnya kerana tiadanya penciptaan kata-kata baru. Sebaliknya kita semua memainkan peranan. Jika kita ingin mengunakan perkataan Melayu sebagai istilah baru sudah tentu ia bukan istilah baru, ia hanya perkataan yang dilariskan penggunaanya. Cuma sebelum ini ia diperapkan di dalam Kamus Dewan sahaja. Untuk mencipta perkataan baru mungkin ada satu format seperti yang dilakukan Jepun iaitu menggabungkan perkataan atau meringkaskannya daripada beberapa perkataan (Akronim) seperti yang pernah kita lakukan dahulu  seperti Kugiran (Kumpulan Gitar Rancak), Pawagam (Panggung Wayang Gambar) dan Berdikari (Berdiri Di Atas Kaki Sendiri).

Advertisements

2 thoughts on “>Kemandulan Minda

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s