Aku Yang Bernama…

Agaknya, apabila rasa teramat bosan dengan internet, HE membaca Utusan Online. Ah! beritanya sama sahaja. Bosan juga. Akhirnya tangan ini gatal mengetik butang ‘Search Archives’. Kemudiannya menaip “Kamarul Arif”. Butang Seach ditekan. Wah! Ada 3 cerita yang berkaitan. Ia memang sejarah. Sudah menjadi lipatan kenangan:

  • Surat aku di Forum Utusan kerana sikap Sharifah Aini. (telah di tampal di bawah)
  • 1 Surat Balasan kepada aku kerana surat aku kepada forum Utusan berkaitan Sharifah Aini. (telah di tampal di bawah)
  • 1 Rencana Pengarang Utusan berkaitan sikap Sharifah Aini berkaitan dengan suratku di forum Utusan. (telah di tampal di bawah)

Forum Utusan Malaysia 10 September 2003

Kamarul kecewa persembahan Sharifah Aini di Istana Budaya

Saudara Pengarang,
DARI 5 hingga 7 September yang lepas, bergemalah irama ghazal di Istana Budaya. Saya percaya ramai yang berkesempatan menonton dan ada juga yang tidak kerana tiket persembahan dijual ibarat pisang goreng panas.

Persembahan ini menampilkan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini, satu nama tersohor di negara kita.

Saya juga tidak berkesempatan untuk mendapatkan tiket persembahan tersebut. Oleh kerana ingin juga menonton konsert tersebut, saya telah pergi pada 4 September 2003 kerana saya mendapat maklumat bahawa Istana Budaya menyediakan pas kepada jemputan tertentu pada hari tersebut. Saya bersyukur kerana dapat menonton juga persembahan tersebut.

Apa yang menyedihkan saya, persembahan pada malam tersebut tidak mencapai mutu Istana Budaya. Saya tidak menyalahkan Istana Budaya kerana setiap kali saya hadir di Istana Budaya, saya selalu dimaklumkan Istana Budaya hanya menyediakan tempat, yang lain adalah tertakluk pada produksi yang menjayakan persembahan.

Pada persembahan tersebut, saya amat kecewa dengan Datuk Sharifah Aini kerana berkali-kali menyatakan persembahan pada malam itu adalah persembahan “free‘. Apakah itu mahu dijadikan alasan untuk tidak memberikan persembahan sama seperti persembahan berbayar?

Beliau ketawa mengilai-ilai. Selain daripada itu, Sharifah Aini tidak patut meminta-minta air semasa persembahannya.

Pada pandangan saya walaupun pertunjukan itu percuma untuk penonton khas, Sharifah Aini mestilah menampilkan persembahan terbaik kerana Istana Budaya membayar produksi beliau. – KAMARUL ARIF YUSOFF, Cheras.

Forum Utusan Malaysia 11 September 2003 – Respon kepada surat aku.

Apa salahnya Sharifah Aini minum ketika persembahan?

Saudara pengarang,
PADA malam 8 September lalu, saya berpeluang menyaksikan Konsert Simfoni Ghazal Johor Bersama Datuk Sharifah Aini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Konsert itu sepatutnya berakhir malam sebelumnya tetapi dilanjutkan sehari lagi, dengarnya atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sendiri yang tidak berkesempatan mengikuti persembahan yang diadakan tiga malam berturut-turut sebelum itu.

Selama empat jam duduk mendengar, menyaksikan dan menghayati konsert – saya betul-betul angkat tabik kepada Kerajaan Negeri Johor dan Istana Budaya atas usaha kedua-duanya meletakkan seni ghazal di tempat selayaknya.

Persembahan artis budaya dewasa dan remaja, pemuzik, penyanyi jemputan dan biduanita Sharifah Aini malam itu cukup hebat.

Justeru saya amat kesal dengan tulisan Kamarul Arif Yusoff dari Cheras, kerana cuba merendahkan taraf keseluruhan simfoni hanya disebabkan satu dua insiden yang disaksikannya pada 4 September – kalau tak silap saya, hari full dress rehearsal.

Bagi saya adalah sesuatu yang normal dan biasa berlaku dalam mana-mana konsert pun termasuk yang bertaraf antarabangsa, jika penyanyi minum air semasa membuat persembahan.

Lebih-lebih lagi untuk konsert ini, Sharifah Aini perlu menyanyikan lagu-lagu ghazal dan Melayu asli yang mencabar keupayaan vokal selama lebih dua jam.

Malah pada malam 8 September yang disaksikan oleh Perdana Menteri pun – Sharifah Aini minum air juga.

Kamarul Arif juga seolah-olah tak senang apabila Sharifah Aini `ketawa mengilai-ilai’ dan berkali-kali mengatakan persembahan malam 4 September itu free.

Kamarul Arif sepatutnya ada sedikit sense of humour kerana Sharifah Aini mungkin cuba menghilangkan rasa gugupnya dengan ketawa – lagi pun memang persembahan malam itu percuma.

Bukan saya hendak membela Sharifah Aini tetapi `kelemahan’ yang cuba ditonjolkan oleh Kamarul Arif itu sebenarnya terlalu remeh dan tidak patut dijadikan isu.

Bagi saya sendiri kalau ada teguran pun ialah mengenai penggunaan bahasa Inggeris. Beliau sepatutnya tak payah langsung menggunakan bahasa Inggeris bagi mengekalkan kemelayuan persembahan.

Kamarul Arif juga mengungkit tentang Sharifah Aini telah dibayar oleh Istana Budaya untuk persembahan itu, tetapi kalau saya tak silap biduanita itu sebenarnya dibayar oleh Yayasan Warisan Johor atau Kerajaan Negeri Johor, Istana Budaya hanya menyediakan tempat untuk persembahan.

Pada keseluruhannya, persembahan yang saya saksikan pada malam 8 September itu memang cukup hebat dan saya percaya begitu juga dengan malam-malam sebelumnya.

Saya pernah menyaksikan beberapa persembahan muzik dan kebudayaan seumpamanya termasuk di luar negara dan tidak ragu-ragu mengatakan Konsert Simfoni Ghazal Johor di Istana Budaya, sebenarnya bertaraf dunia.

Sayang kerana Kamarul Arif mudah dipengaruhi perasaan oleh perkara kecil sehingga gagal menilai kualiti keseluruhan persembahan. – SRI GHAZAL, Shah Alam.

Rencana Pengarang Utusan Malaysia 11 September 2003

Antara penghibur dengan pendukung seni

Pemikiran Firdaus
(firdaus@um.edu.my)
Konsert Simfoni Ghazal Johor
Patut menjadi contoh teladan
Sharifah Aini yang memang masyhur
Masih perlu penulis ucapan
Di beranda Istana Budaya senja Isnin kelmarin seorang hadirin berkata dengan nada bersenda: “Nampaknya malam ini tak ubah seperti majlis perhimpunan Who and Who in Johor.” Komentar sedemikian dilafazkannya kerana pada malam tersebut memang banyak elit politik dan budaya dari negeri Darul Takzim itu yang kelihatan, sama ada yang bermastautin di Lembah Klang atau yang memang sengaja datang dari sekitar Selat Teberau.

Mereka berlegar-legar dan berbual-bual menanti ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman. Selain daripada keinginan untuk melihat wajah dan jika mungkin untuk berjabat tangan dengan Perdana Menteri dan Menteri Besar itu, barangkali yang lebih diharapkan oleh sebahagian mereka ialah untuk dilihat oleh kedua-dua pemimpin tersebut. Dalam bahasa Inggeris ini kadang-kadang diberi julukan sebagai the politics of appearance.

Dan memang tidak syak lagi, malam itu Istana Budaya bersemarak dengan lambang-lambang Johor. Baik tokoh yang datang mahupun busana yang mereka pakai (terutama kaum wanita) begitu juga lagu dan irama yang berkumandang, semuanya menghidupkan suasana dan semangat Johor. Pentas dan akustik canggih dewan pertunjukan serta suasana ruang legar Istana Budaya pada malam itu semuanya dipadan dan diserasikan untuk menghidupkan satu pertunjukan berukuran mega yang diberi nama Konsert Simfoni Ghazal Johor Bersama Datuk Sharifah Aini.

Pertunjukan untuk umum berlangsung antara 5 dan 7 September dan pada malam terakhir satu pertunjukan khas diadakan untuk tokoh-tokoh VIP dan VVIP.

Harga tiket seperti yang diiklankan boleh dianggap terhitung mahal, daripada RM40 menjangkau kepada RM400. Semuanya itu membayangkan bahawa simfoni yang berbintangkan Sharifah Aini ini adalah satu pertunjukan berukuran mega dan mendapat perhatian serta sokongan yang istimewa daripada kerajaan negeri Johor.

Apakah signifikannya semua itu? Atau bagaimanakah kita hendak mentafsirkan pertunjukan berukuran mega seperti simfoni ini? Secara keseluruhan saya ingin melihat semuanya itu sebagai satu usaha terpuji mengembalikan kegemilangan masa silam seni dan budaya Melayu, khususnya dari warisan tradisi Johor. Di samping itu, inisiatif ini juga membayangkan visi masa depan atau harapan terhadap keperkasaan budaya watan yang dirintis oleh kepimpinan Abdul Ghani.

Secara am inisiatif seperti ini memanglah satu usaha yang bukan sahaja patut dialu-alukan malah perlu digalakkan dan sewajarnya menjadi teladan kepada Menteri-Menteri Besar yang lain, termasuk Terengganu dan Kelantan.

Tetapi secara terperinci ada beberapa pandangan dan teguran ikhlas yang rasanya patut diberi perhatian oleh tenaga produksi simfoni dan juga Sharifah Aini sendiri. Ertinya ada perkara-perkara yang perlu diperbaiki, atau setidak-tidaknya dinilai kembali.

Pertama mengenai Sharifah Aini. Tentang bakat seni dan keunggulan suaranya memang tidak dapat dinafikan lagi. Setelah lebih kurang 35 tahun menceburkan diri dalam bidang seni suara, Sharifah Aini bukan sahaja berjaya kekal sebagai penghibur yang senantiasa segar (evergreen) tetapi lebih dari itu beliau juga telah berjaya memberi jiwa dan nafas yang berterusan terhadap kesenian satu bangsa di bidang seni suara. Beliau versatile sebagai seorang penghibur dan dia dianugerahkan bakat yang luar biasa untuk mewarisi dan menjamin survival satu warisan seni.

Sharifah Aini telah memberi martabat dan maruah tersendiri terhadap pelbagai rentak lagu-lagu tradisi Melayu, daripada ghazal, zapin dan inang membawa kepada kaparinyo serta joget dan serampang. Kerana itu banyak yang mengharapkan supaya beliau tidak hanya menjadi seorang penghibur, sebaliknya biarlah menjadi seorang pendukung seni dan jati diri bangsa yang peka dan senantiasa bangga terhadap bangsa dan bahasa pusakanya. Sebagai pendukung seni dan jati diri bangsa beliau diharapkan senantiasa berpandukan ungkapan atau nasihat pusaka `bahasa menunjukkan bangsa’.

Kerana itu setiap kali beliau menampilkan diri di hadapan khalayak (di atas pentas atau di hadapan kamera TV) maka bahasa dan tutur katanya perlulah dijaga: Mesti arif dan bijak serta mesti peka pandai memilih perkara (subjek) yang hendak diperkatakan mengikut kesesuaian tempat dan suasana.

Antara perkara yang ditegur oleh pembaca Utusan Malaysia semalam (surat pembaca oleh Kamarul Arif Yusoff) ialah keterlanjuran Sharifah Aini mengulang-ulang mengatakan pertunjukkannya pada 4 September itu sebagai persembahan free dan beliau suka ketawa mengilai-ilai.

Pada malam pertunjukan yang dihadiri oleh Dr. Mahathir pun saya sendiri mendengar ada penonton yang bersungut bila Sharifah Aini cuba hendak memberi kuliah tentang ghazal dan memperkatakan dua tiga perkara lain yang tidak kena pada tempatnya. Dia juga didapati tidak tahu membezakan bila hendak menggunakan Yang Berhormat dengan Yang Amat Berhormat. Atau mungkin tersasul?

Terdapat juga penonton yang bersungut kerana kegagalan Sharifah Aini menggunakan bahasa Melayu secara betul dan konsisten. Beliau mempunyai kecenderungan untuk menggunakan bahasa Inggeris. Ini menjejaskan kemelayuan lagu-lagu asli yang dinyanyikannya. Kerana itu dianjurkan supaya beliau mengekang keinginan untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam persembahan lagu-lagu asli Melayu yang para penontonnya juga hampir seluruhnya tahu berbahasa Melayu.

Dipendekkan bicara, pada hemat saya, Sharifah Aini perlu mempunyai seorang penulis skrip yang sekali gus boleh bertindak sebagai penasihat kebudayaan. Dengan demikian, suara padat dan bakat luar biasa yang dianugerahkan Tuhan kepadanya itu benar-benar dapat dimanfaatkan untuk menjadikan Sharifah Aini pendukung seni Melayu dan tidak menjadi seorang penghibur sahaja.

Selain daripada komentar dan saranan terhadap Sharifah Aini satu lagi kemusykilan atau soalan saya mengenai Konsert Simfoni Ghazal Johor itu ialah: Apakah keperluannya mengiringi hampir setiap lagu dengan tarian?

Tarian-tarian yang mengiringi hampir setiap lagu itu, terutama pada bahagian pertama konsert, boleh dikatakan mempunyai ragam gerak yang hampir sama dan ada kalanya tidak mengikut irama. Ini mengakibatkan konsentrasi penonton/pendengar terhadap lagu menjadi terganggu.

Perlu diingat, antara keistimewaan lagu-lagu asli Melayu ialah seni katanya dalam bentuk pantun yang tajam dan halus menusuk atau mengusap perasaan. Janganlah ini diganggu oleh tarian-tarian yang kadang-kadang kelihatan seperti pertunjukan akrobatik. Akhirnya, walau apa pun teguran yang telah diluahkan, kita tetap menghargai dan mengucapkan tahniah kepada wawasan dan inisiatif Abdul Ghani.

– Profesor Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya.

Inilah dia kalau dha bosan.

7 thoughts on “Aku Yang Bernama…

  1. >aiseyman.. teringat laa perang nie…Mana bleh lupa.. sbb shy laa yg pegi tgk konsert tue ngan hairi.. Peh!.. sound system.. mcm gaban.. power.. stage power.. musician power.. dancers.. so..so laa..Takpi kak pah?.. aiyooo!!Aku rasa pompuan nie dh mental laa!..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s